Ini merupakan sebuah kesaksian yang diceritakan oleh sahabat baik kepada saya yang benar-benar menyentuh saya.
Seorang remaja perempuan sedang berbaring di atas katil selepas pemeriksaan ke atas jantungnya. Tangannya penuh dengan jarum-jarum yang mencucuk menembusi kulitnya.
Dengan penuh kesakitan, remaja perempuan ini menahan dengan penuh kesabaran. Sakit yang dirasakan bukanlah seminit, dua minit, sejam atau dua jam, tetapi lebih dari sehari.
Puncak kesakitan membuatkan remaja perempuan ini menangis dan berseru kepada Tuhan untuk disembuhkan. Tangannya yang penuh jarum itu memang sangat-sangat menyakitkan dia.
Setelah dua hari menahan kesakitan, pada waktu malam tiba-tiba datang seorang yang berbaju seperti seorang doktor. Dalam pandangan yang kabur kerana tangisan, dia melihat doktor itu datang dekat kepadanya.
Lalu remaja perempuan itu berkata "Jangan tinggalkan saya..saya sangat sakit..". Dengan perlahan doktor itu memegang tangan yang sakit dan berkata "Jangan risau..aku ada di sini untuk mu..engkau tidak akan merasa sakit lagi..". Kemudian kelihatan doktor itu berjalan pergi dan remaja perempuan itu tertidur.
Pada waktu pagi selepas itu, remaja perempuan tersebut terbangun dan terkejut kerana tangannya tidak lagi sakit. Yang lebih mengherankan ialah, bila dia bertanya kepada jururawat tentang doktor yang bertugas pada waktu malam itu, tiada seorang pun yang bertugas.
Apakah 'doktor' itu seorang malaikat? Dia mungkin dihantar untuk memberi kelegaan kepada sahabat saya ini. 'Doktor' itu telah mengambil kesakitan yang dia sedang alami pada waktu itu dan memberi kekuatan pada esoknya.
Saya percaya bahawa apa yang dialami oleh sahabat saya ini adalah perkara yang sangat luar biasa dan menceritakan tentang kasih-Nya yang sangat dalam terhadap anak-anak-Nya yang sedang dalam kesakitan.
Semoga anda diberkati.
Kesaksian oleh Catherine Yikun
No comments:
Post a Comment