Shallom!!
Selamat pagi (pada waktu saya sedang menyediakan artikel ini..hehe).
Pada kali ini saya ingin menyaksikan kebaikan Tuhan yang telah Dia sediakan bagi saya bermulanya tahun yang baru 2013 ini.
Setiap apa yang telah berlaku saya percaya penuh bahawa Tuhan Yesus yang sudah menyediakan bagi saya, tidak kira itu masalah untuk mengajar saya ataupun berkat kebaikan yang Tuhan Yesus turunkan ke atas saya, semuanya adalah kerana kasih Tuhan Yesus!
Kesaksian pertama saya bermula pada 22 Disember 2012 sebenarnya, cuma pada waktu itu saya belum mengetahuinya. Seorang rakan sekerja saya meminta pertolongan saya untuk menanyakan tiket feri dari Menumbok ke Labuan untuk 1 Januari 2013. Pada waktu dia bertanyakan jika saya boleh membantu dia dalam hal itu, saya hanya menjawab "Ok, boleh..tiada masalah". Sesudah tiba 22 Disember 2012, saya akhirnya akan belayar ke Menumbok dari Labuan. Pelayaran agak lewat disebabkan kenderaan yang sepatutnya menaiki feri Wawasan yang besar tidak datang awal. Saya tiba di Menumbok dalam pukul 5 petang. Pada saat saya memandu keluar dari feri, saya terfikir untuk jalan terus sebab sudah lewat. Namun hati saya berat untuk memandu terus lalu saya berhenti berdekatan dengan simpang ke jalan besar. Saya berjalan agak jauh ke kaunter tiket lalu menanyakan jika masih ada kosong pada 1 Januari 2013. Lalu di kaunter itu menjawab hanya pada 3 Januari 2013 sahaja yang masih ada kosong.
Dipendekkan cerita, selama 9 hari saya bercuti akhirnya saya perlu kembali ke Labuan. Sesampainya saya di Menumbok untuk menunggu feri, saya menyedari bahawa saya belum membayar yuran pendaratan sebanyak RM14. Saya membuka dompet saya dan ternyata di dalam hanya tinggl RM3 kerana wang yang saya bawa dari Ranau suda saya gunakan untuk sarapan dan membeli minyak kereta. Saya membuka kompartmen dan menjumpai RM1, semuanya baru RM4. Lalu apa yang terjadi, saya beriman jika saya melepasi kastam, saya akan tunjukkan dompet saya dan biarkan Tuhan bekerja. Namun kasih Tuhan, pertolongan Tuhan itu luar biasa. Pada hari yang sama juga, rakan sekerja saya yang meminta pertolongan saya untuk bertanya tiket itu belayar pada hari yang sama dengan saya. Saya menelefon dia dan akhirnya saya dapat meminjam wang daripada dia. Rupanya Tuhan sudah sediakan jalan bagi saya berhari-hari sebelum itu. Puji Tuhan!
Kesaksian kedua saya berkaitan dengan kereta saya. Pendekkan cerita, kereta saya hanya mempunyai satu bar minyak sahaja lagi minggu lalu. Sebelum saya mengenal iman dengan setulusnya, saya pasti risau, saya pasti kuatir akan hal yang melibatkan wang untuk membeli minyak kenderaan. Apa yang terjadi, saya beriman pasti Tuhan akan sediakan sesuatu untuk saya pada minggu itu. Lalu pada hari Jumaat tanggal 11 Januari 2013, seorang kerani dari syarikat tempat saya bekerja ingin meminta hantar ke bandar Labuan. Pada waktu itu saya tercari-cari kenderaan syarikat namun tiada satu pun yang saya boleh gunakan, ada van tetapi kuncinya tiada dan orang yang memegang kunci van tidak menjawab telefon. Lalu kerani itu menyuruh saya menggunakan kereta saya dan saya berterus terang kepada dia bahawa minyak kereta saya sudah tinggal sedikit dan puji Tuhan kerani itu menyatakan untuk membelikan minyak untuk saya,..haha..Haleluya!
Kesaksian ketiga, pada tanggal 12 Januari 2013, selepas habis waktu bekerja saya pergi ke Taman Botanikal Labuan untuk berehat sementara menunggu waktu latihan. Pada hari itu saya belum lagi makan nasi sebab saya perlu menjimatkan wang sejimat-jimatnya dan hanya memakan kek yang disimpan dalam peti sejuk syarikat. Semasa berada di taman itu, saya hanya duduk dalam kereta sambil mendengarkan lagu rohani. Pada waktu itu saya agak lapar, dan dengan senyuman saya berdoa kepada Tuhan agar lapar itu 'dilimpaskan' dari perut saya. Kuasa Tuhan itu sempurna, ajaib sungguh. Dalam setengah jam rakan saya dari UMS Labuan menelefon dan menyuruh saya untuk menyertai mereka di gathering Persatuan Pelajar Kristian UMS di Pantai Labuan. Pada mulanya saya agak segan akan tetapi saya ingin membiasakan diri bersama mereka, dan puji Tuhan juga saya dapat makan bersama mereka.
Pertolongan Tuhan tidak pernah terlambat. Kasih Yesus begitu sempurna bagi mereka yang memerlukan pertolongan Dia. Yesus tidak pernah membiarkan kita begitu sahaja, Dia sentiasa menyertai kita. Cuma kita perlu berseru meminta pertolongan kepanya-Nya, berdoa tanpa rasa pentingkan diri sendiri.
Filipi 4:19 - Allahku akan memenuhi segala keperluanmu menurut kekayaan dan kemuliaan-Nya dalam Kristus Yesus.
Dimuliakanlah Allah dan Bapa kita selama-lamanya! Amin.
No comments:
Post a Comment